html

Khamis, 4 Ogos 2011

Artikel kedua...


By : Siti Sarah Binti Bakar

Menganggap menuntut ilmu sebagai satu ibadah, Haji Najib bin Haji Ayob tidak pernah mengenal erti letih untuk mencarinya. Anak kelahiran Kapar Klang ini telah memulakan proses menuntut ilmu di Sekolah Kebangsaan Kapar pada tahun 1967. Setelah menghabiskan pengajian diperingkat sekolah rendah, beliau telah pun menyambung pembelajarannya diperingkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Idris Shah pada tahun 1973. Setelah tamat tingkatan tiga dan mendapat keputusan yang cemerlang dalam Sijil Rendah Pelajaran (SRP), dengan semangat yang ada beliau menyambung tingkatan empat sehingga tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Rahimah Klang dan pernah menerima anugerah pelajar tebaik aliran sains dalam peperiksaan SPM pada tahun 1977.

Walaupun berada dalam lingkungan keluarga yang kurang pendapatan itu tidak menjadi penghalang kepada insan yang lahir pada 11 April 1960 ini untuk menuntut ilmu. Setelah menamatkan zaman persekolahannya, beliau bertekat untuk menyambung pembelajaranya ke peringkat universiti pula. Haji Najib telah menyambung pembelajarannya di Universiti Teknologi Malaysia dari tahun 1978 hingga 1983 dalam jurusan Sarjana Muda Sains serta Pendidikan pengkhususan bidang Kimia dan Fizik.

Setelah lima tahun mencari ilmu di UTM, anak ke enam kepada pasangan Haji Ayob bin Ahmad dan Hajah Fatimah binti Moad ini memulakan kerjayanya sebagai seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Kudin Raub Pahang pada tahun 1983. Setelah hampir lima tahun menggajr di sekolah tersebut, beliau telah dilantik oleh pihak sekolah sebagai Penolong Kanan Akademik pada tahun 1988.

Selama beliau berkidmat di Raub Pahang, anak ke enam daripada sembilan adik beradik ini telah bertemu jodoh dengan anak jati disana. Haji Najib bertemu jodoh dengan anak muridnya sendiri Hajah Rasdah binti Lahimin dan dikurniakan enam orang cahaya mata iaitu dua putera dan empat puteri. Haji Najib telah mendidik kesemua cahaya matanya dengan didikan agama yang cukup lengkap dan menjadi insane yang berguna untuk masyarakat.

Hampir sembilan tahun Haji Najib berkidmat di Raub Pahang, pada tahun 1992 beliau mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halamannya di Kapar Klang Selangor. Bak kata pepatah hujan emas di negeri orang hujan batu di negeri sendiri. Beliau memulakan tugasnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Kapar selama setahun sebelum ditukarkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram Kuala Selangor pada tahun berikutnya. Di sekolah tersebut beliau telah diberi tanggungjawab menggalas jawatan sebagai Guru Kanan Bidang Sains Dan Matematik pada tahun 1993. Setelah itu beliau dilantik untuk menjawat jawatan sebagai Penolong Kanan Akademik di sekolah yang sama pada tahun 1995.

Tujuh belas tahun Haji Najib menjadi seorang guru yang berjaya di tiga buah sekolah, beliau menyambung kembali pelajarannya di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2000 hingga 2002. Demi cintanya kepada ilmu sains dan matematik, beliau telah menyambung pelajaran dalam bidang Sarjana Pandidikan disana.Setelah tamat pengajian, Haji Najib kembali semula ke sekolah yang ditinggalkannya sebelum ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram dengan jawatan sebagai Penolong Kanan Kokurikulum.

Setelah penat mengajar dibeberapa sekolah di negeri Selangor dan Pahang, beliau diarahkan pula bertugas di Pejabat Pelajaran Derah Kuala Selangor pada tahun 2003. Disana beliau memegang jawatan sebagai Pegawai Unit Sains dan Matematik dan Penolong Pegawai Pelajaran Daerah (Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan ).

Selain menjadi seorang guru dan pegawai di Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Selangor, bapa kepada enam orang anak ini juga menjadi imam ke dua di Masjid Badariah Batu 12 Kapar. Baginya walaupun berjaya di dunia, di akhrat juga perlu mempunyai bekalan yang sama. Bakat menjadi seorang imam ini diambil daripada bapanya Haji Ayob yang menjadi imam pertama di masjid yang sama. Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa cara dan alunan Haji Najib membaca surah semasa mengimamkan solat sama seperti bapanya juga. Dengan itu pada sesiapa yang masih merindui alunan suara Haji Ayob boleh la mendengarnya ketika beliau mengimamkan solat di masjid. Bak kata pepatah ‘dimana tumpah kuah kalau tidak ke nasi’.

Setelah hampir empat tahun berbakti di Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Selangor, beliau kembali semua mengajar dan mencurah ilmu pengetahuan yang selama ini disimpan didalam hati. Sekolah pertama yang beliau pergi setelah keluar dari Pejabat Pelajaran Daerah ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Utama, Sungai Buloh. Beliau mula mengajar di sekolah tersebut pada tahun 2007 dengan memegang jawatan sebagai pengetua. Ini bermakna beliau telah dinaikkan pangkat setelah empat tahun berkhidmat di PPD.

Tetapi khidmatnya di sekolah tersebut tidak bertahan lama apabila Haji Najib di arahkan untuk bertukar ke Sekolah Menengah Kebangsaan Banting Kuala Langat pada tahun seterusnya. Di sana beliau masih lagi memegang jawatan sebagai seorang pengetua.

Pada tahun berikutnya iaitu 2009 insan yang berbintang aries ini diarahkan lagi untuk bertukar ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Klang. Disana beliau menghadapi begitu banyak cabaran kerana sekolah tersebuat antara sekolah yang begitu aktif dengan pasukan pancaragam dan Haji Najib tidak begitu mahir tentang perkara tersebut. Tetapi perkara tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk mendidik anak bangsa. Baginya aktiviti luar dan akademik adalah sama penting untuk melahirkan bangsa yang berjaya dimasa akan datang.

Khidmatnya di Sekolah Menengah Tinggi Klang masih tidak diperlukan dengan begitu lama kerana pada tahun 2010 beliau diarahkan untuk menjadi pengetua kepada salah satu sekolah yang bermasalah di daerah Klang. Sekolah tersebut adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Idris Shah. Sekolah itu juga merupakan sekolahnya pada tingkatan satu hingga tiga. Tetapi beliau telah membawa begitu banyak perubahan pada sekolah tersebut kerana pada tahun lepas sekolah tersebut telah melahirkan begitu ramai pelajar cemerlang dalam peperiksaan SPM dan PMR. Wajah sekolah tersebut juga yang dulunya begitu suram telah berubah ceria dengan hasil sentuhan pengetua yang ingin berbakti kepada anak bangsanya terutama di kampung halamannya sendiri.

Sehingga kini beliau masih lagi berkhidmat di sekolah tersebut dan berharap agar pelajar-pelajarnya memberikan focus kepada perkembangan diri dalam aspek sahsiah, penampilan dan keilmuan. Selain itu, Haji Najib juga berharap agar pelajar-pelajar memberikan khidmat dan sumbangan yang positif kepada sekolah dan semoga pelajar-pelajar sentiasa berdoa terhadap kebaikan didunia dan di akhirat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan