Rawatan penyakit gusi yang konservatif.
PENSKALERAN
Merupakan
kaedah rawatan penyakit gusi yang paling umum dan konservatif.
Penskaleran adalah pembuangan karang gigi dan plak yang melekat di
permukaan gigi. Proses ini selalunya menumpukan kawasan di bawah garis
gusi di sepanjang akar gigi.Plak gigi lebih mudah melekat ke permukaan
yang kasar. Disebabkan ini maka permukaan akar dilicinkan melalui satu
proses yang dipanggil pengetaman akar atau ‘root planing’. Pengetaman
akar membuang karang gigi yang tertinggal dan melicinkan permukaan akar
gigi yang tidak rata.
Plak
adalah bahan melekit yang penuh bakteria yang melekat di permukaan
gigi. Bila ianya mengeras selepas jangka masa yang lama akibat campuran
mineral dari air liur, ianya menjadi karang gigi juga dikenali sebagai
tartar atau kalkulus.
Bakteria
menyebabkan penyakit gusi. Plak dan karang gigi mengadakan permukaan
tidak rata yang memudahkan bacteria melekat. Penskaleran dan pengetaman
akar membuang permukaan ini. Pada peringkat awal penyakit gusi,
penskaleran adalah mencukupi untuk merawat penyakit gusi. Ianya sangat
berkesan untuk merawat keradangan gusi iaitu gingivitis. Pada peringkat
lewat, penskaleran dan pengetaman akar kadang kala perlu digabungkan
dengan pembedahan.
Adakah penskaleran menyakitkan?
Pada
peringkat awal penyakit gusi, penskaleran mungkin menyebabkan
ketidakselesaan dan rasa sensitif. Gusi boleh berdarah sewaktu rawatan
dijalankan. Jika penyakit gusi sudah melarat, kesakitan boleh dirasai,
oleh itu doktor pergigian boleh menyuntik anestesia setempat untuk
menghilangkan rasa sakit.
Bagaimana ia dijalankan?
Penskaleran
dan pengetaman akar dijalankan dengan alat penskaleran ultrasonik atau
alatan tangan atau kombinasi kedua-duanya. Alat ultrasonik mempunyai dua
komponen iaitu:
- Tip logam tumpul yang bergetar pada frekuensi tinggi dan melonggarkan karang gigi dari permukaan gigi.
- Sistem pengairan yang menyejukkan tip logam dan membersihkan karang yang sudah tertanggal dari permukaan gigi.
Peralatan tangan pula mempunyai hujung tajam yang mengorek karang dari permukaan gigi. Penskaleran
dan pengetaman akar biasanya dijalankan pada satu lawatan bagi kes yang
tidak teruk atau sederhana. Bagi penyakit gusi yang teruk, ianya
mungkin perlu dijalankan berulang kali kerana perdarahan yang banyak
menyukarkan doktor pergigian untuk memastikan semua karang dapat
dibersihkan dalam satu lawatan.
Apa yang anda rasai selepas rawatan?
Untuk
beberapa hari selepas rawatan, gusi anda akan berasa sedikit sakit dan
gigi mungkin berasa sensitif terhadap makanan atau minuman sejuk atau
panas. Doktor boleh memberikan ubat penahan sakit dan penggunaan ubat
gigi sensitif akan disyorkan. Jika perdarahan banyak doktor pergigian
akan mencadangkan ubat kumuran berantiseptik untuk membantu gusi cepat
sembuh. Walaubagaimanapun pemberusan dan pemflosan gigi mestilah
dijalankan dengan betul walaupun kurang selesa. Gusi pun akan berdarah
bila diberus atau diflos buat beberapa hari tetapi dengan penjagaan
kebersihan mulut yang baik, gusi anda akan beransur-ansur sembuh dan
perdarahan biasanya akan berhenti dalam masa seminggu.
RUJUKAN :www.dr.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan